
“Uncle!” didukung anaknya itu. Danny sudah semakin besar.
Yalah, sudah hampir dua bulan dia tidak melihat anaknya. Sudah tentu Danny semakin besar.
“Daniel,” mata Anis membulat apabila dia memasuki pagar rumahnya bersama Danny. Mungkin terkejut dengan kedatangannya yang tiba-tiba.
“Bila awak balik?” soalnya selepas rasa terkejutnya hilang. Aiman Daniel tersenyum.
‘Tiga hari lepas. Dah lama tak jumpa awak berdua. Rasa macam Danny dah makin tinggi,” dicuitnya hidung Danny. Anak itu ketawa kecil. Anis tersenyum.
“Tulah, siapa suruh awak pergi Jepun lama sangat? Baru sekarang balik,” balas Anis pula. Dia masuk ke dalam untuk menyediakan air dan minuman untuk tetamunya. Aiman Daniel terdiam. Kenapa pergi lama sangat? Untuk ubat hati…
“Saya jumpa Fariq semalam. Banyak yang dia cerita tentang awak dan Danny,” dia mula berbicara apabila Anis kembali. Anis tersenyum kecil.
“Dia baik, kan?” perlahan suara Anis. Aiman Daniel terdiam seketika. Dia teringat perbualannya dengan Fariq semalam.
“Ya. Dia memang baik,”
******************************************
“Aku tahu kau marahkan aku,” dia memandang rakannya yang sedang bersandar pada kereta miliknya.“Kenapa balik tak beritahu?” Fariq bertanya sebaik sahaja keluar dari kereta Alfa Romeonya. Aiman Daniel mengeluh perlahan.
“Kau tak patut pergi,” ujarnya lagi
“Tak. Buat apa aku nak marahkan kau. Dah jelas kau dah menang. Aku tak boleh buat apa-apa lagi,” ucapnya perlahan. Dia menebarkan pandangan pada pemandangan di hadapan. Benar, setelah dua bulan di negara orang, rasa sakit hatinya berkurang. Namun rasa cintanya langsung tidak pernah berkurang. Di sana, dia cuma belajar untuk menerima kenyataan, bukan untuk melupakan cintanya.
“Kau memang cintakan Anis?” tiba-tiba soalan itu dilontarkan. Aiman Daniel sedikit terkejut tetapi berubah tenang kembali. Kalau boleh ingin sahaja dia menafikan untuk menjaga egonya tetapi dia sedar, egonya tidak akan membawa dia ke mana-mana. Biarlah dia melepaskan semuanya hati ini. Selepas ini dia tidak akan meluahkannya lagi.
“Ya. Aku hanya sedar selepas apa yang mama cakap. Lembap kan, aku ni? Langsung tak peka pada perasaan sendiri apatah lagi perasaan orang lain. Memang patut pun Anis pilih kau berbanding aku,” dia ketawa. Hambar..
“Tapi jangan salah faham. Aku dah dapat terima kenyataan. Sekarang ni aku berharap kau dan Anis bahagia. Aku juga harap kau jaga Danny dengan baik. Pernah tak aku cakap, terima kasih sebab sayangkan Danny selama ini?” soalnya. Fariq menggeleng.
“Jadi, terima kasih sebab kau sudi curahkan kasih sayang pada anak aku. Tanpa kau, aku tak rasa Danny akan seceria sekarang. Dia perlukan seorang lelaki dalam hidupnya. Yang akan menjadi papa yang baik untuk dia. Aku, aku ada terlalu banyak kesalahan dalam hidup aku. Aku tak akan jadi papa yang baik. Tapi kau, kau pasti boleh. Kau kan kawan baik aku,” dia menumbuk perlahan bahu rakannya itu. Satu kebiasaan ketika mereka masih rapat dulu tetapi sudah lama tidak dilakukan. Dia tidak mahu berdendam. Dia mahu rakan baiknya kembali.
**************************************
"Daniel,” Anis menepuk tangan dihadapannya. “Apa yang awak menungkan tu?”
“Tak ada apa-apa lah. Mana Danny?” lehernya dipanjangkan. Mencari kelibat anaknya. Anis tersenyum.
“Tu. Tengah main remote control car,” mulut Anis dimuncungkan ke arah anaknya. Aiman Daniel menoleh ke arah itu. Tersenyum apabila kereta itu merempuh dinding.
“Fariq beri, kan? Saya beri, awak bagi balik,” laju kata-kata itu meluncur. Terus dia menutup mulut selepas itu. Wajah Anis berubah. Mereka berdua terdiam lama. Akhirnya Anis bersuara.
“Keadaan awak dan dia berbeza,”
****************************************

“Well, terima kasih sebab kau percayakan aku tapi maaf, aku takkan boleh tunaikan permintaan kau tu,” Fariq menumbuk kembali bahunya. Aiman Daniel tersentak.
“Kenapa pulak? Kau tak nak jadi papa Danny?” dahinya berkerut. Fariq menggelengkan kepalanya.
“Aku akan ke Uk esok,”
“Bila kau balik?” soalnya bersahaja.
“Bila tiba masanya,”
“Dan bila masanya tiba?”
“Bila aku dah bersedia,”
“Aku tak faham. Kau akan pulang bila majlis kahwin kau dan Anis tiba?” matanya tajam merenung wajah rakannya. Fariq menggeleng.
“Aku takkan kahwin dengan Anis,”
“Kenapa? Kan kau dah lamar Anis,” sekarang Aiman Daniel benar-benar terkejut.
“Aku tak lamar Anis. Aku cuma bagi balik cincin tunang yang dia pulangkan dulu. Mama aku pun suruh Anis simpan cincin tu,” dia berterus terang. Aiman Daniel terlopong.
“Kenapa kau tak lamar dia?!” terkejutnya masih tidak hilang.
“Cinta tak bererti memiliki, Daniel. Aku faham kata-kata itu sekarang. Tak semestinya aku cintakan Anis dan sayangkan Danny, aku harus kahwin dengan Anis. Aku masih boleh sayangkan dia dari jauh,” Fariq mengalihkan pandangan ke hadapan.
“Kenapa kau harus buat begitu?” Aiman Daniel meraut rambutnya. Bingung.
“Demi kebaikan semua orang. Demi kau, Anis dan yang paling penting, Danny. Dia perlukan ibu bapa kandungnya. Kau tahu tak apa yang mama aku kata?”
“Manalah aku tahu!” tempelak Aiman Daniel. Fariq mengangkat wajah.
“Mama aku kata, aku memang sayangkan Danny tapi aku hanya manusia biasa. Yang punya banyak kelemahan. Ditakdirkan aku dan Anis ada anak sendiri nanti, adakah aku yakin sikap aku pada Danny tidak akan berubah? Adakah kasih sayang aku pada anak kandung aku akan melebihi kasih aku pada Danny? Jujurnya aku tak boleh jawab. Kau tak tak kenapa? Sebab aku sendiri tak yakin. Aku sendiri tak pasti,”
“Tapi itu tidak bermakna kau akan berubah. Kita tak tahu masa depan,” balas Aiman Daniel pula. Fariq menggeleng.
“Aku cuma mahu yang terbaik untuk Anis dan Danny. Tadi kau kata kau yakin aku akan jadi papa yang baik untuk Danny, kan? Aku juga yakin kau akan jadi papa yang baik untuk dia. Kau dah berubah, Daniel. Kau jauh lebih baik dari Daniel yang pentingkan diri, kaki perempuan yang pernah jadi kawan baik aku dulu.,” buat kali pertama sejak mereka mula berbual, Fariq tersenyum. Aiman Daniel terdiam.
“Aku tahu kau mampu, Daniel. Aku tahu,”
************************************************

“Kenapa awak beritahu yang sebenar pada saya?” dia memandang lama Anis. Wanita itu mengalihkan pandangan.
“Awak yang salah faham sendiri,”Anis bersuara perlahan.
“Kenapa awak tak betulkan?” bibirnya diketap. Anis diam. Lama.
“Untuk apa?” soalan dijawab dengan soalan. Aiman Daniel mengeluh.
“Maafkan saya sebab saya dah cakap macam-macam pada awak,” diraut rambutnya.
“Saya pun salah juga,” lembut suara Anis. Aiman Daniel tersenyum.
“Awak nak tumpang saya pergi hantar Fariq tak?” kuih dimakan. Sedap.
“Boleh. Kita bawa Danny sekali ya,”
*********************************************
“Abang, Rina mintak maaf,” gadis kecil itu menyeka air mata di pipinya.
“Abang tak marah pada Rina pun,”
“Kalau abang tak marah, kenapa abang nak pergi dari sini? Kenapa abang tak nak kahwin dengan Kak Anis? Rina janji takkan buat macam tu lagi,” esakannya semakin kuat. Fariq menarik nafas panjang.
“Cinta memerlukan pengorbanan, Rina. Suatu hari nanti Rina pasti faham,”
“Abang ni. Rina dah dewasalah. Abang cakap gitu, macam Rina ni budak 12 tahun!” kelat wajahnya. Fariq tersenyum kecil. Dia mencuit pipi sepupu kesayangannya itu.
“Kalau begitu, pasti Rina faham kenapa abang buat keputusan ni,” Rina menyeka air matanya.
“Bang, Kak Anis, Encik Daniel,” dimuncungkan mulutnya ke arah belakang. Fariq berpaling. Senyuman dilebarkan.
“Fariq, saya harap awak cepat kembali,” Anis berusaha menahan sebak di dadanya. Dia tidak pasti kenapa Fariq mahu pergi. Dia juga keliru kenapa Fariq seperti tidak mahu kembali.
“Saya akan kembali. Bila tiba masanya nanti,” jawapannya sama seperti yang dikatakan kepada Aiman Daniel. Dia memandang Anis lama.
“Dan bila tiba masanya itu, pasti awak akan beritahu saya, kan?” soalnya lagi. Fariq mengangguk. Dia beralih pada rakan baiknya.
“Terima kasih,” belum sempat Fariq bersuara, Aiman Daniel terlebih dahulu mengeluarkan kata. Fariq terpana namun akhirnya tersenyum dan mengangguk.
“Danny, pergi pada uncle,” Aiman Daniel mendekatkan Danny pada Fariq. Segera Fariq membawa Danny ke dukungannya.
“Danny jangan nakal bila uncle tak ada ya?” digeselkan hidungnya dengan hidung comel Danny. Anak itu ketawa.
“Uncle nak pergi mana?” bulat matanya.
“Nak pergi jauh,”
“Bila uncle balik?”
“Bila Danny dah besar, dah handsome, uncle akan balik,” digeleknya perut Danny. Danny mengekek-ngekek ketawa. Geli diperlakukan begitu oleh unclenya. Aiman Daniel diam memerhati. Tiba-tiba Fariq menyerahkan Danny ke dalam dukungan Anis. Dia berbisik di telinga Anis sesuatu. Anis tersenyum dan berkata sesuatu kepada Fariq. Aiman Daniel terpinga-pinga.
“Abang, kenapa nak bisik-bisik ni? Nak dengar jugak!” mulut Rina sudah memuncung. Terus ditarik hidungnya oleh Fariq.
“Sakitlah! Kak, auntie kata akak datanglah rumah lepas ni,”
“Kenapa auntie tak datang?” pandangan beralih pada Fariq.
“Auntie tak sihat. Asyik nangis abang nak pergi,” dibisikkan ke telinga Anis. Anis menggigit bibir. Dia bagaikan dapat memahami kesedihan yang dialami Puan Zuria sekarang. Cuma keputusan Fariq sudah nekad benar.
“Dah nak berlepas ni. Saya kena pergi dulu. Selamat tinggal semua,” dia mencium pipi Danny untuk kali terakhir.
“Jangan sia-siakan mereka lagi,” bisikkan di telinga Aiman Daniel. Rakannya itu mengangguk. Selepas itu dia melangkah pergi. Mereka semua memerhati kelibatnya sebelum menghilang.
“Akak, Rina pergi dulu,” kelibat gadis itu pulak yang menghilang. Aiman Daniel membawa Anis dan Danny ke pantai. Danny menjerit riang. Dia memang sukakan pantai.
“Apa yang dia bisikkan tadi?” keningnya dijongketkan.
“Awak betul nak tahu?” senyuman nakal terukir. Aiman Daniel terkesima. Kali pertama dia melihat senyuman itu. Tanpa sedar dia mengangguk. Anis membisikkan sesuatu pada Danny. Sekelip mata Danny menghulurkan tangan.
“Papa, nak dukung,” Aiman Daniel terkelu. Betul-betul terkelu. Dia salah dengar ke?
“Papa, nak dukung,” ulang Danny. Matanya mula berair. Memikirkan papanya tidak mahu mendukungnya. Segera Aiman Daniel tersedar. Dia mengambil Danny dari dukungan Anis.
“Ya, sayang. Ni papa,” dicium pipi anaknya sepuas hati. Anis mengetap bibir. Rasa sebak kerana baru sekarang Danny dan Aiman Daniel boleh merasai kemesraan itu. Dia mahu melangkah pergi tetapi tangannya diraih Aiman Daniel.
“Bila awak beritahu dia?” soalnya. Wajahnya jelas riang. Matanya bersinar.
“Sehari selepas awak bertolak ke Jepun,”
“Habis, kenapa Danny tak panggil papa pagi tadi?” matanya tidak dilepaskan dari anaknya. Anis tersenyum.
“Sebab dia dah janji tak boleh panggil lagi sebelum saya beritahu dia,” dia berterus terang. Aiman Daniel membawa tangan Anis ke dadanya.
“Awak tahu tak? Awak dah banyak kali tolak lamaran saya,” Anis mengangguk. “Kalau saya lamar awak, awak akan tolak lagi?” reaksi yang tidak dijangka, wanita itu beriaksi tenang.
“Awak rasa?” senyuman itu datang kembali. Anis mahu menjarakkan diri tetapi dikemaskan pegangan. Danny yang meronta mahu turun di dirikan di bawah. Segera anaknya itu bermain pasir.
“Awak cintakan saya?” dia memberanikan diri memandang mata Anis.
“Awak cintakan saya?” Anis memberikan soalan yang sama kepada Aiman Daniel. Lelaki itu mengangguk.
“Seluruh jiwa raga saya,” semakin kemas pegangannya. Anis menunduk dan selepas seketika, dia mendongak kembali.
“Awak, buat masa sekarang, saya tak mampu menyintai awak seperti awak cintakan saya. Bayangan Fariq masih ada. Yang pasti, saya sedar tentang betapa kosongnya hidup saya dan Danny tanpa awak selama awak tiada di sisi,” diluahkan satu persatu.
“Jadi, awak terima lamaran saya?” soalnya tidak sabar.
“Saya janji awak, selepas ini hanya ada awak seorang saja di hati. Saya akan belajar. Boleh awak berikan saya peluang itu?” ada air mata di birai mata. Aiman Daniel terkelu. Ada rasa bahagia menyelubungiya. Segera dia mendukung Danny kembali dan membawa Anis ke dalam pelukannya. Senyuman dilebarkan.
“Sudah tentu,”
******************************************

Kapal terbang sudah lama meninggalkan bumi Malaysia untuk ke negara yang cukup asing baginya. Fariq memandang ke luar tingkap. Hanya kepulan-kepulan awan yang dilihatnya. Wajah Anis, Daniel dan Danny terbayang-bayang berlatarkan awan itu. Mereka semua kelihatan gembira, kelihatan amat bahagia sekali.
Dia tahu dia sudah membuat keputusan yang paling tepat. Aiman Daniel layak mendapat kebahagian ini. Selama ni Daniel tidak pernah mencintai, sekarang dia sudah belajar mencintai, biarlah dirinya beralah. Dia rela. Dia ikhlas. Hanya untuk kebahagian semua.
“Saya akan doakan kebahagiaan awak, Anis,” wajahnya ditundukkan. Dia akan pendamkan cintanya pada Anis di sudut paling dalam hatinya. Cintanya tidak akan berubah, cuma situasi yang akan berubah. Tapi jikalau dia benar-benar ikhlas, benar-benar rela melepaskan Anis, kenapa hatinya begitu sakit? Kenapa air mata ini tidak henti-henti menitis…?
*******************************************

Tiga tahun berlalu…
“Danny, jangan main jauh-jauh. Jatuh nanti,” Anis memandang risau anak lelakinya yang sedang berlari sekeliling taman. Dari kecil lagi anaknya itu memang aktif. Sekarang ni Danny pun sudah mula bersekolah. Malah, dia malu kalau dipanggil Danny di hadapan rakannya. Hanya keluarga terdekat sahaja yang boleh memanggilnya dengan gelaran manjanyanya itu.
“Papa, ada siput la,” Danny melompat-lompat. Anis tersenyum. Dia memerhatikan suaminya bangun dari kerusi batu dan mendekati anaknya. Bersungguh Danny menunjukkan penemuannya pada papanya.
“Sayang, mari makan,” Anis memanggil dua lelaki paling penting dalam hidupnya itu sambil meletakkan dulang berisi kuih-muih di atas meja batu. Semua ini dibuat sendiri. Hasil tunjuk ajar ibu mertuanya, Puan Sri Maria. Eh, jangan ingat Puan Sri tak reti masak. Rupanya dia lebih pandai masak dari Mak Timah, tau!
“Danny, basuh tangan dulu,” dia menampar tangan yang mahu mengambil kuih itu.
“Yalah, mama,” walaupun kelat wajahnya, dia tetap menurut suruhan mamanya.
“Banyaknya Anis buat. Abang hilang sekejap je, terus tak dengar cakap abang,” keningnya berkerut melihat pelbagai jenis kuih di atas meja.
“Biarlah, abang. Anis nak makan. Kalau beli, tak sedap,” disumbat kuih di dalam mulutnya. Namun kerut di dahi suaminya masih tidak hilang.
“Anis tak apa-apa, bang. Doktor pun kata Anis boleh buat kerja rumah,” dimaniskan senyuman pada Aiman Daniel. Cara ini selalu berjaya untuk meredakan marah suaminya.
“Kerja ringan, bukan kerja rumah. Kan ada bibik. Tak pun mama boleh buat. Kenapalah isteri abang ni degil sangat? Kalau jatuh lagi macam dulu, macam mana?” dicuit hidung isterinya. Dia betul-betul risau. Walaupun tidak sihat, Anis tidak boleh duduk diam. Ada sahaja yang ingin dibuatnya.
“Ala, baru enam bulan, bang. Tengok, perut pun tak besar sangat,” kelat sudah wajahnya. Aiman Daniel mengeluh. Sensitif betul bini aku sekarang.
“Majlis kahwin Rina lagi dua minggu, kan?” dia mengalih topik. Tidak mahu isterinya terus merajuk. Cara itu berjaya apabila Anis tersenyum.
“Yup. Anis ingat nak tolong..,” kata-kata terhenti apabila mata Aiman Daniel menikam wajahnya. Dia tahu maksud renungan itu.
“Yalah, Anis tak nak tolong,” kelat lagi wajahnya.
“Mama, kenapa kuih ni rasanya pelik?” mereka berdua mengalihkan pandangan pada Danny yang sudah berkerut keningnya.
“Pelik? Biar papa rasa,” dia mengambil kuih yang serupa. Hampir sahaja tersembur. Yalah, pelik. Masin!
“Apa yang Anis letak dalam ni?” dia terus meneguk air. Anis berkelip-kelip matanya.
“Entahlah. Tadikan sebab nak cepat, Anis termasuk garam, bukan gula. Kalau buang, sayang la pulak. Jadi, abang habiskan ya. Bukannya masin sangat pun,” Anis hanya tersenyum apabila suaminya membulatkan mata.
“Anis nak abang kena darah tinggi eh?” diraih tangan isterinya lalu dicubit pipinya. Anis ketawa. Aiman Daniel tahu Anis cuma bergurau tadi. Masakan dia mahu suaminya betul-betul makan kuih masin!
“Mama, papa!” Danny memuncungkan mulutnya. Dia tidak suka mama dan papanya tidak memperdulikan kehadirannya. Aiman Daniel ketawa. Faham sangat dengan perangai Danny. Itulah, siapa suruh manjakan sangat!
“Mari duduk kat sini,” ditarik anaknya duduk di antara dirinya dan Anis. Anaknya itu terus memakan kuih di atas meja. Aiman Daniel pula membuka laptopnya.
“Honey, Fariq balas email,” dipalingkan pada isterinya. Mata Anis bersinar. Sudah lama Fariq tidak membalas email mereka. Entah apa keadaannya sekarang.
“Dia tulis apa?” soalnya. Aiman Daniel tersenyum.
“Dia cakap gambar baby nanti kena email kat dia dan dia kata Danny makin tembam!” jelas riang di wajah Aiman Daniel, menerima khabar dari rakan baiknya. Namun senyuman di bibir Anis hambar.
“Dia tak nak balik untuk majlis kahwin Rina, ke?” perlahan suaranya. Aiman Daniel terdiam. Dia memeluk bahu isterinya.
"Biarlah, sayang. Kan dia dah kata, bila dia dah bersedia, dia balik,” dipujuk isteri yang berduka. Dia tidak cemburu apabila isterinya rindukan Fariq kerana dia tahu cinta Anis hanya ada untuknya. Anis cuma menganggap Fariq rakan yang baik sahaja sekarang. Dia juga amat rindukan sahabatnya itu.
“Danny ingat tak uncle Fariq?” Anis menyoal anaknya yang sedang meneguk air. Danny mengelip-ngelip matanya seketika sebelum mengangguk.
“Mana dia akan lupa, uncle favourite dia tu. Abang pun dia dah tak layan kalau ada uncle Fariq dia!” dicubit pipi Danny. Anis ketawa.
“Mama, adik gerak la,” tangan Danny dilekapkan pada perutnya. Mata Danny membulat dan bersinar. Anis dan Aiman Daniel bertentangan mata, nampaknya Danny benar-benar sayang pada adiknya.
“Papa, rasalah,” tangan besar papanya ditarik dan dilekap pada perut mamanya. Seperti yang dijangka, reaksi Aiman Danial juga sama seperti anaknya. Yang berbeza, dia terus mencium pipi Anis.
“Terima kasih, sayang sebab beri abang peluang untuk memperoleh kebahagiaan ini,” matanya bersinar cinta. Anis tersenyum dan membalas rangkulan tangan Aiman Daniel di jarinya. Dia adalah papa dan suami yang baik. Sungguh dia bersyukur kerana dianugerahkan cinta pada suaminya ini. Dan dia yakin, kasih yang tercipta antara mereka, akan sentiasa mekar dan kekal selamanya…
*********************************
p/s: Akhirnya cerita ini sampai juga ke penghujungnya. Alya harap pembaca semua dapat memberikan komen tentang kesuluruhan cerita ini. Semoga komen itu dapat meningkatkan lagi mutu penulisan Alya. Trimas! ^_^