Jumaat, 27 November 2009

Kasih Tercipta 38


“Mak cik bersimpati dengan kamu, Anis,” Puan Minah menepuk perlahan bahunya. Anis hanya diam. Dia teringatkan kata-kata tajam Puan Minah ketika majlis sambutan hari lahir Danny. Sampai sekarang ni dia masih tidak lupa!

“Danny akan baik-baik aja,” sambung jirannya yang lain. Anis kekal diam. Dia tidak tahu jika dia terlalu prasangka atau dia dapat merasakan mereka semua bukan ikhlas mahu Danny sembuh. Setelah cerita status sebenar Danny tersebar, jiran-jirannya ini langsung tidak membenarkan anak mereka berkawan dengan Danny. Mungkin memberi pengaruh buruk. Sedangkan Danny langsung tidak tahu apa-apa. Ini semua bukan salah Danny.

“Terima kasih kerana melawat,” hanya itu yang diucapkan. Setelah mereka semua pergi, Anis kembali menumpukan perhatian pada anaknya. Maira duduk di sisinya. Fariq baru beredar sebentar tadi untuk ke pejabat. Anis benar-benar menghargai keprihatinan Fariq terhadap Danny.

“Anis, awak tak boleh terus begini. Awak tak makan lagi ni,”


“Saya tak lapar,” tangan Danny digenggam. Dia masih lagi tidak tenang.

“Anis, awak kena makan. Awak nak saya minta tolong Fariq atau Encik Daniel belikan awak sesuatu? Awak nak makan apa?”

“Tak nak,” kepalanya digeleng lagi. Maira mengeluh. Sudah tidak kuasa untuk memujuk, barangkali.

“Encik Daniel,” Maira tersenyum kecil melihat Aiman Daniel di muka pintu. Anis hanya menjeling sekilas sebelum mengembalikan perhatiannya pada Danny.

“Anis, ikut aku,” tangannya ditarik Aiman Daniel. Anis merentap tangannya kembali. Dia tidak mahu meninggalkan sisi Danny.

“Anis, jangan degil!” pinggangnya dipaut dan ditarik mengikuti langkahnya. Anis meronta.

“Encik Daniel, encik tak patut buat saya macam ni!” Anis menahan suaranya. Kalau diikutkan hati, memang dia mahu mencekik-cekik lelaki ini. Memang Aiman Daniel banyak membantunya. Dia membawa Danny ke hospital swasta yang terbaik, yang pasti Anis tidak akan mampu membayar kosnya dan dia sentiasa ada di sisi Danny namun itu tidak bermakna lelaki ini boleh melakukan apa sahaja, boleh mengarahkannya itu ini.


“Duduk sini,” dia dipaksa duduk. Ruang kafeteria terdapat beberapa pengunjung. Anis mengetap bibir.

“Encik, kenapa bawa saya ke sini?” suaranya direndahkan sedaya mungkin. Aiman Daniel diam lalu menghilang. Anis mengerutkan kening. Apa yang berlaku ni? Hati yang geram semakin sebal apabila masa semakin berlalu. Dia mahu berada di sisi Danny. Kalau Danny sedar, tentu dia akan ketakutan. Pasti dia akan mencarinya. Ini tidak boleh terjadi. Dia harus berada di sisi Danny!

“Duduk,” tegas suara itu. Anis duduk kembali dengan wajah yang masam. Tadi menghilang, bila kita nak pergi, datang pulak!

“Encik nak apa sebenarnya ni?” bibirnya digigit geram.

“Ouch,” tangan di bawa ke mulut. Terasa sakit apabila dia tergigit lukanya yang semakin sembuh.

“Lain kali hati-hati. Kalau marahkan aku, jangan sakitkan diri,” selamba nada lelaki itu lalu duduk berhadapan dengannya. Pinggan dan gelas di tangan diletakkan di hadapan Anis.

“Apa ni?” keningnya dikerutkan.

“Makanan lah. Makan,” nada lelaki itu masih selamba. Anis mengeleng. Pinggan ditolak.

“Anis, makanlah!” pinggan ditolak kembali. Anis mendengus.

“Saya kata tak nak, tak naklah!” suaranya meninggi. Wajah Aiman Daniel berubah. Dia bangun dan duduk di tepinya.

“Kalau kau tak nak makan, aku suapkan,” ada nada menggugut dalam suaranya. Anis membeliakkan mata.

“Awak siapa nak paksa saya?” dia membalas dalam nada yang sama. Dijeling lelaki itu!

“Aku boleh paksa awak. Sekarang buka mulut,” sudu disua kemulutnya. Anis cuba mengelak tetapi tangan Aiman Daniel yang sebelah lagi menekan belakangnya ke hadapan. Dia perasan ada beberapa orang yang memerhatikan tingkah laku mereka. Darah menyerbu ke muka. Malu!

“Biar saya makan sendiri!” sudu direntap dari jemari Aiman Daniel. Dia menundukkan wajah, memandang makanan di hadapan. Dimakan sesuap. Rasanya seperti pasir. Dikuis-kuis makanan itu. Dia tidak punya selera. Teringatkan Danny. Dia mahu sentiasa di sisi anaknya itu.

“Aku faham perasaan kau sekarang tetapi kau tak bolah seksa diri. Kalau kau sakit, Danny juga yang sedih,” nada Aiman Daniel berubah.

“Awak takkan faham perasaan saya,” dia membalas perlahan. Terdengar keluhan Aiman Daniel.

“Percayalah cakap aku. Bukan kau seorang saja yang ketakutan sekarang,” suaranya hampir tidak kedengaran. Anis menjeling dengan ekor mata. Lelaki itu kelihatan sedang termenung jauh. Hati Anis terusik. Aiman Daniel memang sayangkan Danny. Baru sekarang dia benar-benar menyedarinya. Dia yakin Aiman Daniel akan menjadi bapa yang baik suatu hari nanti. Hm..

********************************




“Biar aku yang jaga Danny malam ni,” langkah Anis terhenti di hadapan pintu bilik anaknya.

‘Tak payah. Saya nak jaga dia,” Anis berdegil. Dia tidak mahu meninggalkan sisi Danny.

“Anis, tolonglah. Jangan berdegil lagi,” Aiman Daniel mengetap bibir. Anis tetap menggeleng.

“Jangan buat saya paksa awak lagi,” nada itu kembali lagi. Anis menarik nafas panjang. Dia merasakan Aiman Daniel juga perlukan rehat. Lelaki itu kelihatan letih.

“Encik ni kan…Ouch!” dia terdorong ke hadapan apabila dilanggar dari belakang. Spontan tubuhnya dipaut Aiman Daniel.

“Eh, sorry. I’m..,” suara itu terhenti. Anis menoleh ke belakang. Stephanie!

“Daniel? What’re you doing here?” Aiman Daniel segera melepaskan tangan di bahunya apabila Stephanie menjeling. Lelaki itu meraut wajah.

“Apa you buat kat sini?” petanyaan dijawab dengan pertanyaan. Wajah Stephanie berubah.

“Sepupu I sakit. You tak jawab lagi soalan I. You buat apa kat sini dan dengan Anis?” jelingannya bertambah tajam. Anis mengetap bibir.

“Saya mintak diri dulu,” Anis menolak pintu untuk masuk ke bilik anaknya.

“Anis,” tangannya direntap. Anis terpana. Mata Stephanie terbeliak melihat kelakuan Aiman Daniel.

“Daniel, apa ni? Siapa dalam bilik ni?!” suara Stephanie meninggi. Dia bukannya bodoh melihat kegelisahan dalam diri tunangnya ini.

“Saya rasa cik patut..,” belum sempat dia meneruskan kata, badannya ditolak. Stephanie merempuh ke dalam bilik. Wajah Anis berubah. Dia berpandangan dengan Aiman Daniel. Habislah!

P/s: SELAMAT HARI RAYA KORBAN!!

Khamis, 19 November 2009

Kasih Tercipta 37


Langkahnya yang pantas bertukar larian. Dadanya berdebar-debar semacam. Dia tahu ada yang tidak kena. Tapi apa?

Tiba-tiba dia merasakan badannya semakin tidak bertenaga, semakin lumpuh. Apa yang sudah terjadi ni? Apa yang berlaku pada dirinya ni? Kenapa semuanya bertukar gelap? Kenapa dia terasa kepalanya begitu berat? Kenapa begitu susah untuk dia bernafas, seperti ada batu besar menghempap dadanya. Kenapa?

“Anis,” suara itu kedengaran sayup-sayup. Dia meraba-raba, mencari arah datangnya suara itu. Kenapa dia tidak berdaya? Kenapa matanya terasa begitu berat?

“Anis,” suara itu datang lagi. Kali ini ruangnya sudah tidak gelap lagi. Ada cahaya yang samar-samar. Dia tidak pasti apa itu sehinggalah apabila matanya terbuka luas. Pejam celik matanya. Penglihatannya masih samar-samar.

“Anis, awak dah sedar?” kali ini semuanya sudah jelas. Dia memandang wajah Fariq lama. Dia masih keliru. Apa yang terjadi ni?

“Fariq, apa..,” dia cuba bangun tetapi seluruh badannya terasa sakit. Terutamanya kepalanya.

“Anis, awak baring dulu. awak masih lemah ni,” Fariq menolak dia kembali ke katil.

“Kenapa saya..,” bicaranya terhenti. Satu-persatu cebisan memorinya kembali. Wajahnya berubah pucat. Danny!


“Fariq, mana Danny?” tangannya menggenggam erat tangan lelaki itu. Dia betul-betul takut. Dia masih lagi terasa Danny tercampak dari pelukannya ketika perlanggaran itu. Apa yang sudah terjadi pada anaknya?

“Fariq, mana Danny? Dia tak apa-apa, kan?” wajahnya yang sudah sedia pucat semakin pucat apabila Fariq hanya diam, tidak menjawab soalannya.

“Anis, awak mesti tenang. Daniel dah pergi tengok keadaannya. Dia…,” Anis cuba bangun. Cuba dilawan kesakitannya. Tangan Fariq yang menghalang ditepis. Apa yang penting sekarang adalah Danny!

“Anis,” badannya terasa melayang. Ada tangan yang menyambut tubuhnya sebelum terhempas ke lantai. Kepalanya ditundukkan. Tangannya dibawa ke kepala. Sakitnya.

“Anis, awak rehat dulu,” matanya terkebil-kebil. Ini bukan suara Fariq. Ini suara Aiman Daniel! Segera diangkat wajahnya.

“Encik Daniel! Macam mana dengan Danny? Dia tidak apa-apa, kan?” suaranya kedengaran seperti histeria tetapi dia tidak peduli. Tubuh lelaki itu ditolak walaupun Aiman Daniel langsung tidak berganjak dengan tenaganya yang lemah.

“Dia tak apa-apa, kan?” bibirnya diketap kuat. Menahan takut dan sakit. Di antara reaksi yang diduganya, dia langsung tidak menjangka Aiman Daniel tersenyum. Yalah, senyum walaupun senyum tipis, tawar.

“Anis, bertenang. Danny tak apa-apa,” lelaki itu membantunya berdiri namun Anis menolak. Matanya menjeling tajam.

“Saya nak tengok sendiri. Saya nak tengok anak saya,” dia mula meronta. Fariq kembali di sisinya namun kekal dia.

“Danny dah diberi rawatan. Maira ada dengan Danny. Sekarang ni baik kau rehat dulu,” lelaki itu kekal memeluknya. Anis tergeleng-geleng.

“Saya nak tengok Danny. Saya tak kira, saya nak tengok anak saya, encik!” rontaanya makin kuat.

“Anis…” bicara Fariq terhenti. Dia berpandangan seketika dengan Aiman Daniel.

“Kau boleh tengok Danny tapi janji lepas je kau tengok dia, kau akan kena rehat,” nada Aiman Daniel kedengaran tegas. Nadanya hampir sama ketika memberikan arahan sewaktu bekerja. Anis menggigit bibir. Berani lelaki ini hendak mengarahkannya. Danny anaknya, dia boleh melihat Danny bila-bila masa sahaja!

“Kalau tak janji, tak boleh pergi,” Aiman Daniel menambah. Anis menjeling. Macam tau-tau je dia nak membantah.

“So, nak janji ke tidak?” dia memandang Aiman Daniel yang kelihatan letih. Apa yang dia fikirkan? Anis mengerutkan kening.

“Saya janji,”

************************************



Mulutnya diketap rapat, menahan sebak yang menggila di dadanya sekarang.

“Danny,” dia mendekat pada tubuh anaknya. Matanya tertutup rapat, dadanya turun naik dengan lemah. Badannya penuh calar balar dan lebam-lebam. Tangannya juga berbalut. Kenapa ada banyak tiub yang disambungkan ke tubuh kecilnya?

“Sayang, bangunlah. Mama datang sayang,” nadanya bergetar sambil berbisik pada jasad Danny yang kekal kaku.

“Kenapa dengan Danny? Dia nampak…,” dia tidak sanggup meneruskan kata. Badannya terasa lemah tiba-tiba. Jika tidak dipaut oleh Aiman Daniel, dia pasti sudah terjelopok ke lantai.

“Danny masih kecil. Badannya tidak dapat menahan tekanan dan hentaman pelanggaran ni,” ujar Aiman Daniel perlahan.

“Ini salah saya. Kalaulah saya peluk dia erat-erat, pasti dia takkan cedera sebegini,” air matanya menitis. Dia menunduk.

“Sayang, bangun. Mama datang sayang,” sebak di hati semakin tidak tertahan. Dia tidak sanggup melihat anaknya begini. Dia lebih rela dia yang di dalam kesakitan, bukan Danny!

“Danny hilang banyak darah. Oleh sebab ada ramai mangsa kemalangan, hospital ni tak cukup darah. Daniel yang derma darah pada Danny,” Fariq memautnya dari sisi. Anis termangu. Dia memandang ke arah Aiman Daniel yang berdiri di sisi katil. Patutlah dia kelihatan pucat dan letih. Lama dia merenung lelaki itu.

“Terima kasih,” ucapnya perlahan. Aiman Daniel menunduk.

“Tak perlu ucap terima kasih. Danny anak saya juga,” lelaki itu terus berpaling ke belakang. Anis termangu. Adakah khayalan ataupun memang benar suara lelaki itu kedengaran bergetar?

***********************************

Keadaan Danny semakin lama semakin memburuk. Anis benar-benar dalam ketakutan. Dia tak tahu apa yang boleh dia lakukan sekarang. Dia tidak pernah merasa tidak berdaya begini. Dia hanya mampu menunggu. Dia takut akan kehilangan anaknya itu



“Anis, sabarlah. Awak rehat dulu. awak pun masih tak sembuh lagi,” Maira tidak pernah pergi dari sisinya, menuturkan kata-kata nasihat yang sama tapi dia masih kekal begitu. Dia tidak akan tenang selagi Danny terlepas dari bahaya. Dia tidak akan pernah tenteram!

“Saya takut, Maira. Macam mana kalau Danny..kalau dia..,” air matanya tumpah lagi. Maira memeluknya. Dia benar-benar bersyukur kerana rakannya itu sentiasa ada di sisinya. Aiman Daniel dan Fariq juga, mereka tidak pernah meninggalkannya. Malah, Puan Sri dan Tan Sri sentiasa menjeguk.

“Danny akan selamat. Saya tahu dia akan,” perlahan nada Fariq.

“Dia tahu mama dia risaukan dia. Dia takkan tinggalkan kita semua,” ujar Aiman Daniel pula. Jujurnya kata-kata itu hanya untuk menyakinkan diri mereka sahaja. Bagi Aiman Daniel dan Fariq, mereka tidak boleh kelihatan lemah di hadapan Anis. Anis sudah terlalu sedih, mereka tidak boleh menambah kesedihannya. Namun dalam hati hanya tuhan yang tahu geloranya. Dari bayi lagi Fariq menyayangi Danny, dia benar-benar tidak sanggup melihat keadaan anak itu semakin parah. Dan bagi Aiman Daniel pula, rasa bersalah begitu menghimpit dadanya. Dia belum sempat menyatakan pada Danny dia adalah papa yang dia tunggu-tunggu selama ni. Dia belum sempat mendengar perkataan papa itu meluncur keluar dari bibir comel itu. Dari luaran mungkin dia kelihatan tenang tapi dia benar-benar ketakutan. Adakah masih ada kesempatan untuknya lagi?