Selasa, 23 Disember 2008

Kasih Tercipta 4


Anis mengelap tv yang sedikit berhabuk. Dia kemudian menyusun cd-cd yang bersepah di almari cd khas berdekatan dengan tv. Puluhan dan mungkin ratusan cd tersusun di almari itu. Anis kemudian beralih pada meja kerja tuan muda yang dipenuhi dengan kertas-kertas assignment yang bersepah di atas meja. Anis menyusun kertas-kertas itu dan disimpan di dalam laci meja kerja itu.

“Katil,” kata Anis perlahan lalu memandang katil yang tidak berkemas. Anis mengeluh perlahan lalu mula mengganti cadar katil itu. Sudah hampir sebulan dia bekerja di sini dan dia sudah hampir mengenali tabiat penghuni rumah ini. Tuan besar rumah ni sudah pulang seminggu selepas dia mula berkerja. Tuan besar sangat tegas dalam urusan kerjanya tetapi sangat memanjakan isteri dan satu-satunya anak tunggalnya.

Puan besar pula sangat cerewet dalam urusan rumah tangga tetapi tidak pernah putus dengan aktiviti persatuannya. Tuan muda pula…huh! Perangainya memang teruk. Dengan perangai panas barannya dan sifat bongkaknya, sering Anis menjadi herdikan lelaki kacak itu. Lelaki itu juga sering keluar dan balik lewat malam. Kadang-kala lelaki itu balik dalam keadaan mabuk.

Kadang-kadang Anis terfikir juga, tidakkah puan dan tuan risau dengan perangai anak tunggal mereka itu? Memang dari segi pelajaran, tuan muda boleh dimasukkan dalam golongan cerdik pandai tetapi akhlaknya memang hancur. Dia juga tidak tahu sama ada keluarga itu mengamalkan cara hidup islam atau sudah terikut budaya barat. Memanglah tuan dan puan bukan melayu sejati tetapi mereka patut menerapkan cara hidup islam dalam kehidupan mereka.

“Sayang! Muka kacak, kaya tapi langsung tak boleh dijadikan suami,” kata Anis lalu memandang gambar Aiman Daniel di meja sisi katil. Jelas wajah itu adalah dari darah campuran. Ibunya berasal dari benua Amerika. Sebab itulah wajah tuan muda memang begitu menarik bagi semua perempuan yang melihatnya temasuklah dirinya sendiri. Anis menyiapkan kerjanya yang tubuhnya mula terasa letih. Dia memandang tilam empuk dengan penuh harap. Dia belum pernah dapat tidur di atas katil seempuk itu.

“Tak apalah. Tuan muda balik lambat. Kalau aku baring sekejap, mana dia tahu,” kata Anis pada dirinya sendiri. Dia kemudian merebahkan dirinya di atas katil itu. Ahh, selesanya. Tanpa sedar, dia mula terlena.

*******************************

“Woi, bangun!” suara lantang kedengaran di telinganya. Anis segera membuka mata. Dia melihat wajah Aiman Daniel yang menegang di hadapannya sambil bercekak pinggang.

“Kenapa kau tidur atas katil aku?!” marah Aiman Daniel. Anis menepuk dahinya. Alamak, ketahuan!

“Maaf, tuan. Saya tertidur,” kata Anis lalu segera bangu dari terus berbaring. Dia menundukkan wajahnya. Tidak sanggup memandang wajah bengis itu.

“Tertidur?! Kau nak kerja ke tak ni? Pemalas!” marah Aiman Daniel sambil menunjal kepala Anis dengan jarinya. Anis mengetap bibir. Dia marah diperlakukan sebegitu tetapi dia tahu, itu memang salahnya.

“Maaf,” kata Anis sekali lagi perlahan. Aiman Daniel bercekak pinggang tapi masih memandangnya tajam.

“Keluar!” arah majikannya itu. Anis segera mengangguk takut dan keluar.

***********************************

Jam di dinding bilik Anis tepat menunjukkan pukul 3.00 pagi. Anis masih lagi tidur lana di dalam biliknya yang sempit. Walaupun bilik itu sedikit sempit tetapi lebih baik daripada biliknya di kampung yang terpaksa dikongsi dengan adik-beradiknya.

Ting Tong..! Ting Tong..!

Bunyi locing rumah itu kedengaran. Anis segera membuka mata. Itulah kerjanya yang selalu dilakukannya, membukakan pintu buat tuan mudanya. Dulu dia merungut juga kerana lelaki itu boleh menggunakan kunci tetapi lama-kelamaan dia sudah biasa. Anis memandang jam yang terletak di dinding biliknya itu.

“Pukul 3.00?! Kenapa hari ni pelik semacam je. Sebelum ini tak pernah balik sampai selewat ni,” kata Anis perlahan lalu bangun dari katilnya dan menuju ke pintu. Anis segera membukakan pintu. Dia terperanjat apabila tuan mudanya dalam keadaan mabuk yang teruk dan berjalan dengan terhoyang-hoyang. Anis segera menyambut Aiman Daniel yang hampir terjatuh. Anis hampir muntah apabila hidungnya terbau bau arak yang kuat dari badan Aiman Daniel.

“Kenapa tuan minum sampai begini? Minum arak tak baik,” nasihat Anis.

“Suka hati akulah,” marah Aiman Daniel. Anis mencebik bibir. ‘Mabuk-mabuk pun perangai buruk juga. Padan muka kalau aku tinggalkan kau atas lantai ni. Dahlah berat betul’ rungut Anis sambil memapah Aiman Daniel naik ke tingkat dua. Berpeluh-peluh badannya kerana memapah lelaki itu yang jauh lebih berat darinya.

Anis meletakkan Aiman Daniel ke atas katilnya. Kasut yang masih terlekap di kaki Aiman Daniel ditanggalkan. Begitu juga dengan stokin lelaki itu. Apabila melihat kesan muntah di baju berjenama Aiman Daniel, Anis mula berasa serba-salah.

“Kena tanggalkan ke? Mana boleh, tapi kesian tuan muda kena tidur dengan baju penuh dengan kesan muntah,” kata Anis pada dirinya sendiri. Akhirnya Anis menanggalkan baju lelaki itu dan menyelimutkannya. Sewaktu dia mula ingin beredar, tangannya direntap kasar sehingga dia terduduk di atas katil.

“Apa ni, tuan. Lepaskan tangan saya,” kata Anis sambil cuba meleraikan pegangan kejap Aiman Daniel di tangannya.

“Mana you nak pergi, sayang?” rapu Aiman Daniel. Anis semakin cemas apabila melihat Aiman Daniel betul-betul sudah hilang kawalan sekarang. Dia cuba menolak Aiman Daniel yang cuba memeluknya. Tiba-tiba pipinya ditampar kuat. Pandangan Anis semakin kelam dan akhirnya gelap….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan